Author: Pra Universiti Kampus SMKG Keningau
•8/22/2009 06:01:00 AM

Klik Untuk Kembali


Assignment Moral - 1

Tajuk: Moral Sorang Guru dan Tanggungjawabnya

Disediakan oleh: amein rahim SMKG



ISI KANDUNGAN

KANDUNGAN MUKA SURAT

Mukaddimah 1

Etika Profesion Perguruan 2

Tanggungjawab terhadap diri sendiri 3

Tanggungjawab terhadab pelajar dan ibu bapa 4

Tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara 5

Kesimpulan 7

Rujukan 9



MUKADDIMAH

Profesion menurut Kamus Dewan bermaksud pekerjaan yang memerlukan latihan khas dan pendidikan tinggi. Konsep profesion itu boleh dirumuskan secara ringkas sebagai suatu pekerjaan yang khusus dan dijalankan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan ikhtisas yang sangat bermutu, bersikap jujur, dedikasi, bertangungjawab dan bermoral tinggi, mempunyai autonomi bertugas serta mematuhi kod etika yang telah ditentukan oleh organisasi.

Nilaitara-nilaitara sesuatu profesion merupakan peraturan yang ditetapkan oleh sesebuah organisasi supaya setiap ahli profesional akan mematuhi demi mengawal kualiti dan nilaitara perkhidmatan. Nilaitara profesion ini dihuraikan dalam kod etika yang menjadi garis panduan dalam usaha memastikan bahawa nilaitara-nilaitara tingkah laku dipatuhi oleh ahli-ahlinya. Malahan setiap jenis profesion itu mempunyai kod etika tersendiri dan berbeza dengan profesion yang lain.

Dalam konteks pendidikan guru, perguruan diertikan sebagai pengajaran. Guru adalah ahli masyarakat yang mempunyai hubungan sosial dan berkait rapat dengan masyarakat serta ekonomi. Guru merupakan tenaga ikhtisas dalam bidang perguruan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak-anak bangsa dalam usaha membimbing, memberi nasihat dan membentuk tatasusila pelajar serta menjadi contoh sahsiah yang baik kepada masyarakat. Kebanyakkan kualiti kecerdasan dan sahsiah guru adalah hasil daripada latihan yang membolehkan seseorang guru menguruskan pengajarannya dengan berkesan.

Di dalam masyarakat membangun, guru juga diharapkan menjadi agen pembaharuan dalam kemasyarakatan. Ini kerana guru menjadi pengamal dan penyebar nilai kebudayaan yang menjadi teras kehidupan seterusnya menjadi contoh yang baik dan pakar rujuk kepada masyarakat sekeliling. Guru yang berdedikasi sentiasa bercita-cita untuk menanam sikap, nilai dan ilmu pengetahuan kepada generasi baru ke arah matlamat yang ingin dibentuk sebagai generasi yang cemerlang dan terbilang.

ETIKA PROFESION PERGURUAN

Etika perguruan ialah suatu sistem dasar akhlak dan tingkah laku bagi sesebuah kumpulan manusia atau organisasi. Sistem dasar ini merangkumi aspek-aspek moral yang telah digubal samada baik atau buruk, betul atau salah untuk dijadikan garis panduan kepada ahli-ahli yang berkaitan. Masyarakat pula menggunakan etika itu untuk menganalisa, menilai dan menentukan sama ada tingkah laku manusia yang menunjukkan moral telah mengikut adat dan kebiasaan yang diamalkan.

Profesion perguruan mempunyai persamaan dengan profesion lain yang mempunyai etika sendiri sejajar dengan matlamat organisasi. Setiap guru dikehendaki mematuhi etika perguruan demi menjaga status, akhlak, dan maruah profesion perguruan itu sendiri. Di Malaysia, ”Etika Profesion Perguruan” yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan merupakan landasan dan garis panduan yang ditetapkan untuk setiap guru menjaga imej profesionnya. Sebagai guru, mereka harus yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, taat setia, bertanggungjawab, berkebolehan dan menyedari betapa pentingnya usaha menuju ke arah kebenaran dan pencapaian hasrat kegemilangan , percaya kepada demokrasi, kebebasan perseorangan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Melalui pendidikan, guru dapat membantu generasi muda memahami kebudayaan mereka, memperolehi pengetahuan yang amat berguna kepada mereka di samping menyediakan diri untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan. Ini kerana pendidikan adalah satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

TANGGUNGJAWAB TERHADAP DIRI SENDIRI

Menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda untuk mencapai kemajuan yang maksimum, maka ciri-ciri dalam Etika Perguruan perlu diambil kira untuk membolehkan guru-guru melaksanakan dan mnyempurnakan profesion mereka ke tahap yang lebih tinggi. Ciri yang pertama dalam Etika Perguruan ialah tanggungjawab terhadap diri sendiri. Sebagai seorang profesional, guru haruslah mempunyai tingkah laku dan sifat-sifat yang terpuji sebagai contoh dan teladan kepada pelajar-pelajar.

Dalam hal ini, guru haruslah sentiasa berpakaian kemas, berkelakuan baik, bersopan santun , berbudi bahasa, sentiasa menepati masa, rajin dan mempunyai sikap yang positif terhadap bidang kerja yang telah diamanahkan. Dalam erti kata yang lain, guru haruslah mempunyai sahsiah seperti guru, berpakaian seperti seorang guru, berjalan seperti guru dan bertutur seperti guru. Guru juga bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri supaya dapat menjalankan tugas dengan sempurna. Bijak mengawal emosi dan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi amat penting dalam bidang perguruan. Guru perlu bijak mengawal perasaan diri dalam apa jua keadaan supaya dapat menjalin perhubungan yang erat di kalangan pelajar-pelajarnya agar tidak menjejaskan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Seseorang guru perlu melengkapkan diri dengan berbagai jenis ilmu pengetahuan seperti ilmu psikologi kanak-kanak, ilmu kaedah mengajar, ilmu kurikulum dan sebagainya. Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru harus menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi muda. Perubahan dalam sistem pendidikan yang semakin berkembang khususnya dalam pelaksanaan refomasi pendidikan. Reformasi ini memerlukan guru pula mereformasikan diri ke arah pandangan, sikap dan daya usaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran mengajar yang canggih demi mempertingkatkan keupayaan dan prestasi dalam bidang kerjaya yang kian mencabar.

Guru sentiasa berusaha untuk menyesuaikan diri dalam perubahan-perubahan semasa demi kepentingan profesion perguruan dan memperolehi kualiti profesional. Selain memperlengkapkan diri dengan ilmu pengajaran dan pembelajaran, seorang guru juga perlu menjadi seorang yang berpengetahuan dan peka terhadap peristiwa yang berlaku di sekeliling melalui suratkhabar, television dan radio serta melibatkan diri dalam sesuatu hobi atau aktiviti yang bermanfaat dengan tujuan mengisi masa lapang secara berfaedah.

Kemahiran bertutur di kalangan guru-guru amat penting dalam usaha menyampaikan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. Sebagai penyampai ilmu pengetahuan, guru sering kali berkomunikasi secara lisan dan bertulis dengan pelajar samada dalam aktiviti kokurikulum atau kurikulum. Oleh itu, kemahiran bertutur penting agar pelajar memahami apa yang disampaikan dengan jelas dan tepat malah ia juga penting dalam sosial samada sesama rakan sejawat ataupun masyarakat sekeliling.

Secara umumnya, seseorang guru adalah pendidik dan pengasuh kanak-kanak. Guru memainkan peranan untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dan kebudayaan bangsa serta menjadi pelita kepada pelajar-pelajarnya. Sikap bertanggungjawab akan sentiasa membuatkan guru mementingkan tugas yang telah diamanahkan kepadanya dan berusaha menjalankan dengan sempurna. Maka, hanya guru yang memiliki sifat dan kualiti yang murni dan bernilai sahaja dapat menjalankan tugas dan memikul tanggungjawab dengan sempurna dan penuh dedikasi.

TANGGUNGJAWAB TERHADAP PELAJAR DAN IBU BAPA

Di samping itu, Etika Perguruan juga memberi tanggungjawab seseorang guru terhadap pelajar dan ibu bapa. Sebagai seorang guru, mereka perlu memberi keutamaan hal-hal kebajikan, kemajuan dan keselamatan pelajar daripada perkara-perkara lain. Guru haruslah bersikap adil terhadap setiap pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, sosial, ekonomi, keturunan dan agama. Tugas seorang guru juga memerlukan mereka membimbing dan mengajar pelajar-pelajar tanpa meminta sebarang hadiah atau bayaran serta menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dalam bilik darjah. Ini termasuklah menepati masa mengikut jadual waktu dan menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan cara yang berkesan.

Guru juga harus menjadi contoh yang baik seperti menunjukkan cara berpakaian, pertuturan, dan tingkah laku yang sopan semasa menjalankan tugas. Ini penting untuk memberi teladan kepada para pelajar. Sementara itu, guru mestilah berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat antara institusi pendidikan dan institusi keluarga. Bahkan mengganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa perihal anak-anak mereka adalah sulit dan berusaha untuk tidak akan membocorkan kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.

Selain itu, guru harus mengelakkan diri dari mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar dan ibu bapa terhadap profesion perguruan. Mereka juga perlu mengelakkan diri daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar serta memberi maklumat yang diperlukan kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana.

TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA

Ciri Etika Perguruan yang seterusnya ialah tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan negara. Peranan yang dimainkan guru dalam pendidikan tidak kurang pentingnya. Selain menyebarkan ilmu, guru bertanggungjawab terhadap melahirkan individu mengikut kehendak falsafahPendidikan Kebangsaan dengan memupuk sikap dan nilai yang murni dalam diri setiap pelajar. Sifat yang terpuji boleh membantu dan membimbing pelajar untuk menjadi seorang warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna serta menghormati orang-orang yang lebih tua dan menghormati perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama yang terdapat dalam negara kita yang mempunyai berbilang bangsa dan agama di bawah satu negara.

Umumnya, guru perlu mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara mahupun yang bertentangan dengan falsafah Rukun Negara malah menjalankan tugas menyebarkan Falsafah Pendidikan Negara dan Rukun Negara dengan jelas. Sementara itu, guru hendaklah memenuhi tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia dengan mengambil bahagian secara cergas dalam kegiatan-kegiatan masyarakat. Guru hendaklah memberi sumbangan secara sukarela kepada negara, menghormati masyarakat tempat mereka berkhidmat dan bersopan santun dan mempunyai sahsiah yang terpuji dalam segala aktiviti sosial demi mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat.

Guru bertanggungjawab menggalakkan kerjasama dan persefahaman antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat di samping memberi sumbangan cergas untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawanan masyarakat. Guru juga berpegang kepada tingkah laku yang sopan dan diterima oleh masyarakat serta menjalani kehidupan seharian dengan berkualiti. Tambahan pula, tujuan pendidikan formal bukanlah semata-mata untuk mewujudkan tenaga mahir atau pengkhususan yang sempit sahaja. Matlamat utamanya adalah melahirkan manusia yang mempunyai kecintaan terhadap ilmu, kesedaran untuk belajar, meningkatkan kemahiran, memperbaharui sikap, menanam serta memperkemaskan sifat-sifat yang murni dan nilai-nilai akhlak berdasarkan kepercayaan kepada tuhan. Oleh itu, dalam usaha mencapai cita-cita ini, etika profesion perguruan dijadikan sandaran dalam memastikan imej dan maruah perguruan terjaga dan terpelihara.

Menerusi pendidikan, nilai serta sikap yang diingini dapat disemai di samping memperkembangkan kemahiran setiap individu untuk tujuan memenuhi keperluan pembangunan negara demi mencapai aspirasi serta cita-cita rakyat yang berbilang bangsa. Di samping menikmati faedah perkembangan ekonomi, individu harus menerapkan nilai-nilai yang dikehendaki oleh negara. Dengan yang demikian, perkembangan ekonomi dan kemajuan diri dapat menjalinkan hubungan yang rapat di kalangan rakyat bagi mencapai perpaduan. Penerapan nilai-nilai murni bertujuan melahirkan isan dan warganegara yang perihatin dan mempunyai sahsiah yang terpuji.

KESIMPULAN

Secara ringkasnya, tugas dan peranan guru di Malaysia hari ini bukan sahaja banyak berbeza dari masa yang lalu tetapi juga lebih berat serta kompleks. Ini adalah ekoran daripada perkembangan dan kemajuan dalam pendidikan negara yang pesat dan reformasi pendidikan yang dilaksanakan memerlukan guru mempertingkatkan segala kemahiran yang perlu untuk memastikan prestasi kerja berada pada tahap yang tinggi. Peranan guru masa lalu merupakan seorang penyampai maklumat tetapi pada masa kini peranannya telah bertukar menjadi seorang pembimbing, fasilitator dan pemberi perangsang dalam bilik darjah.

Guru pada masa dulu lebih menumpukan tugasnya mengajar pelajar dengan ilmu pengetahuan tetapi masa kini tugasnya telah ditukar dengan usaha mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dari aspek intelek, rohani, jasmani dan emosi, mendidik pelajar supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan serta berakhlak mulia, berani dan sanggup menghadapi segala cabaran hidup serta berguna untuk pembangunan negara.

Guru yang memperolehi kemahiran profesional adalah guru yang cekap melaksanakan tugas-tugas seperti pengajaran, bimbingan dan aktiviti kokurikulum berlandaskan amalan teori-teori pendidikan. Di bawah konteks profesionalisme perguruan, pengetahuan yang dimiliki, kemahiran dan kefahaman tugas dan tanggungjawab serta sikap seseorang guru merupakan faktor-faktor penentu yang penting. Dengan faktor-faktor perkhidmatan ini, seseorang guru boleh memenuhi hasrat profesionalisme dalam erti kata yang sebenar.

Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, seseorang guru haruslah mempunyai ilmu pengetahuan yang lengkap serta mendalam, menguasai kemahiran pembelajaran, mempunyai pemahaman terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan serta mempunyai sikap positif terhadap kerjayanya. Hanya guru yang memperolehi kualiti-kualiti tersebut boleh melaksanakan tugas dengan sempurna dan teratur.

Kualiti-kualiti ini amat penting dalam menentukan ciri-ciri profesionalisme perguruan agar membolehkan profesion perguruan diiktiraf sebagai taraf profesional dalam bidang kerjaya. Perubahan peranan guru ini seiring dengan perubahan strategi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Ini bermakna sistem latihan perguruan perlu ditingkatkan agar sesuai dan berguna untuk mencapai matlamat pendidikan yang baru. Untuk menghadapi cabaran dan tuntutan pendidikan yang kian mencabar, guru hendaklah sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan mengemaskini ilmu pengetahuan dan kemahiran mengajar dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, sebagai usaha untuk memperkembangan profesionalisme perguruan, guru-guru haruslah mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan demi mempertingkatkan keupayaan dan prestasi dalm kerjaya pendidikan yang semakin kompleks, canggih serta mencabar. Oleh itu, tanggungjawab untuk memberi pendidikan harus menjadi tanggungjawab dan dipikul bersama.

RUJUKAN

Abu Zahari Abu Bakar: Perkembangan Pendidikan di Semenanjung Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd, P.J, 1984.

Asmah Binti Hj. Ahmad: Pedadogi 1, Longman Malaysia, Selangor, 1989.

Atan Long: Psikologi Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1978.

Cadangan Sukatan Pelajaran Ilmu Pendidikan untuk Maktab-Maktab Perguruan Rendah dan Menengah, Kementerian Pelajaran Malaysia, 1971.

Crow and Crow: Psikologi Pendidikan untuk Perguruan, Dwan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1980.

Ibrahim Saad: Pendidikan dan Politik di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1986.

Mok Soon Sang: Pendidikan Di Malaysia, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd, Petaling Jaya, 1998.

Mok Soon Sang: Asas Pendidikan 1, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd, Petaling Jaya, 1995.

Sidang pengarang: Teks Persediaan Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia, Budiman Sdn. Bhd, Selangor, 2005.

Sukatan Pelajaran Ilmu Pendidikan, Kursus Pendidikan Perguruan Asas, KP 9577/2,Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia, Oktober, 1985.

Klik Untuk Kembali

|
This entry was posted on 8/22/2009 06:01:00 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: