Author: Pra Universiti Kampus SMKG Keningau
•8/22/2009 06:35:00 AM

Klik Untuk Kembali

PENGURUSAN PENDIDIKAN

CPM 1113

Tajuk :

ISU-ISU PENDIDIKAN DI MALAYSIA

[Isu Gengsterisme di Sekolah Malaysia]
Oleh: amein rahim

ISI KANDUNGAN

01. Pendahuluan 1

02. Definisi Operasi 2

03. Persoalan 3

04. Sumber Aktivit Gengsterisme 4

05. Andaian dan Pendapat Awal Perlakuan Gengsterisme 6

06. Perbincangan 8

07. Cadangan dan Penyelesaian 10

08. Penutup 12

09. Rujukan 14

1.0 Pendahuluan

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan keparcayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Demikianlah murninya hasrat dan semangat Falasafah Pendidikan Negara. Pendidikan negara bermatlamatkan dan memfokuskan penjanaan warganegara yang mampu memberi sumbangan bermakna kepada diri masing-masing, masyarakat dan negara. Maksud yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan Negara itu diterjemahkan ke dalam Misi Kementerian Pendidikan dan menjadi asas kepada usaha ke arah peningkatan dan pengukuhan sistem pen didikan negara bertaraf dunia. Fokus yang mendasari matlamat utama ini ialah pengembangan potensi pelajar pada tahap optimum.

Matlamat utama pendidikan itu hanya boleh dicapai amat bergantung kepada wujudnya iklim sekolah yang kondusif kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Menyedari hakikat ini maka Kementerian Pendidikan sentiasa memberi penekanan kepada kepentingan pengukuhan disiplin pelajar dengan menyediakan berbagai-bagai panduan, peratuaran dan dasar disiplin yang dikuatkuasakan di sekolah-sekolah. Dalam masa yang sama semua Jabatan Pendidikan Negeri dipastikan mengawal dan membendung pembabitan pelajar dalam sebarang kegiatan berbentuk negatif. Pendekatan-pendekatan yang dibuat untuk melahirkan suasana kondusif bagi proses pengajaran dan pembelajaran.

2.0 Definisi Operasi

2.1 Kumpulan gengster bermaksud kumpulan seminat yang dianggotai oleh ahli-ahli yang berkecenderungan melakukan perlakuan negatif atau pelbagai salah laku dan penubuhannya melibatkan upacara ritual. Ahli-ahlinya diikat dengan peraturan dan undang-undang yang ketat dan kumpulan ini umumnya bergerak secara sulit mempunyai seorang ketua yang mengetuai perancangan dan pelaksanaan program dan aktivitinya. Sementara itu kumpulan samseng merupakan kumpulan seminat yang dianggotai oleh samseng-samseng yang berkecenderungan melakukan perlakuan negatif atau pelbagai salah laku. Ahli-ahlinya diikat dengan peraturan-peraturan dan undang-undang yang longgar. (Dr.Amir Mohd Selleh, 1999).

2.2 Gengsterism di sekolah bermaksud kewujudan kumpulan gengster yang melibatkan para pelajar sekolah harian sebagai ahlinya sama ada sebagai ahli aktif atau penyokong sesuatu kumpulan dalam melakukan salah laku dan pelanggaran disiplin dan undang-undang. ((Dr.Amir Mohd Selleh, 1999). Kumpulan pelajar yang terlibat dalam kumpulan gengster dan samseng terdiri daripada pelbagai jantina, etnik, peringkat umur, peringkat persekolahan dan jenis tempat kediaman mereka.

2.3 Disiplin secara amnya boleh didefinisikan sebagai latihan terutamanya pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri. (Kamus Dewan, 1984). Laporan Jawatankuasa Kabinet mengenai Pelaksanaan Dasar Pendidikan (1979) menyebut disiplin sebagai kesanggupan seseorang individu menghormati undang-undang, bekerja mengikut tatatertib, menghormati hak individu, mengamalkan tingkah laku yang baik, saling hormat menghormati, tolong menolong dan membaiki keadaan dalam usaha membina.

2.4 Moral merujuk kepada tingkah laku manusia yang berkaitan mengenai apa yang betul atau salah, baik atau buruk dan apa yang kita harus buat dan apa yang kita harus elakkan. Moral juga berkaitan dengan cara manusia berinteraksi antara satu sama lain, bagaimana tingkahlaku mereka mempengaruhi perasaan dan kepentingan orang lain. (Iheoma, 1986)

2.5 Akhlak ialah suatu daya kemampuan iradah yang bersifat tetap dalam diri manusia yang melahirkan rasa cenderong untuk memilih perlakuan yang baik dan lurus (jiwa akhlaknya baik) ataupun cenderung untuk memilih perlakuan yang jahat dan buruk jika akhlaknya jahat. (Mohd Sulaiman Haji Yasin, 1992)

3.0 Persoalan

Persoalan yang berkait dengan isu gengsterisme di sekolah amat banyak dan perlu kepada kajian untuk menyelesaikannya. Antaranya sebagaimana senarai berikut :-

3.1 Sejauhmana tahap kegiatan gengsterisme wujud di sekolah-sekolah di Malaysia. Adakah ianya merupakan gimit atau sememangnya realiti yang sedang dihadapi oleh sekolah-sekolah di Malaysia.

3.2 Siapakah kumpulan pelajar yang sering terlibat dengan kumpulan gengstrerisme. Apakah latarbelakang mereka.

3.3 Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kewujudan kumpulan gengster di sekolah.

4.0 Sumber Aktivit Gengsterisme

4.1 Kertas Penyelidikan Kementerian Pendidikan Malaysia

Menurut sumber Unit Penyelidikan Dasar, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia pada bulan Oktober 1999 terdapat 13 jenis salah laku jenayah yang sering melibatkan pelajar kumpulan gengsterisme mengikut respon Pengetua dan Guru di sekolah seperti berikut :- berjudi, mencuri, melawan guru, melawan pengawas, peras ugut, buli, pelacuran, salah guna dadah, bawa senjata, cabul kehormatan, ancam murid, ancaman guru dan ceroboh.

Sementara itu terdapat 5 salah laku lucah yang sering melibatkan kumpulan gengster di sekolah mengikut respon Pengetua dan Guru sebagaimana senarai berikut :- berkhalwat, intai murid perempuan, bawa bahan lucah, guna kata lucah dan lukis gambar lucah.

4.2 Majalah

Sementara itu bilangan kes pelajar yang terlibat dengan perlakuan gengster dan membakar premis sekolah dari tahun 1987 hingga 1999 menurut sumber Kementerian Pendidikan Malaysia seperti yang dilaporkan oleh Majalah Massa (Ogos 2000) adalah seperti jadual berikut :-

Jadual Kes Pelajar Yang Terlibat Aktiviti Gengster

dan Membakar Premis Sekolah

Jenis Kes

1997

1998

1999

Kes Samseng

107

77

85

Membakar Premis Sekoalah

6

19

10

Sumber : Majalah Massa (Ogos 2000)

4.3 Akhbar

Akhbar-akhbar tempatan juga sring melaporkan tentang kejadian jenayah dan gengsterisme di kalangan pelajar sekolah. Berita Harian pada 13 Julai 2000 mengutarakan isu gengsterisme berlaku berpunca kejahilan agama di kalangan remaja dan pelajar sekolah. Hal ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh persekitaran yang banyak mendorong kepada keruntuhan moral dan kemusnahan jati diri dan akhlak.

Berdasarkan laporan di atas kita dapati bahawa aktiviti kumpulan gengster di sekolah agak menyeluruh dalam pelbagai kegiatan. Ini merupakan satu fenomena yang kurang sehat terhadap iklim pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah di negara kita. Masalah serius atau tidak sesuatu salah laku itu bukan menjadi pokok perbincangan tajuk ini. Penulis tidak akan menghuraikan satu persatu sesuatu kes gensterisme di atas. Salah laku melawan guru termasuk mengugut, merosakkan harta benda guru sering berlaku. Baru-baru ini akhbar harian melaporkan tentang pencerobohan dan pembakaran bilik guru disiplin, mengancam guru dengan menghantar peluru hidup dan sebagainya. Apa yang mencemaskan kewujudan salah laku tersebut walaupun satu kes ia boleh menjejaskan iklim persekolahan dan mengganggu pelbagai peringkat proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

5.0 Andaian dan Pendapat Awal Perlakuan Gengsterisme

Pelbagai andaian dan faktor yang membawa kepada wujudnya aktiviti-aktiviti salah laku di kalangan pelajar dalam bentuk gengsterisme ini. Di antaranya boleh kita senaraikan sebagaimana berikut :-

5.1 Pelajar-pelajar yang terlibat dengan pelbagai salah laku di atas merupakan mereka yang kurang mendapat pendidikan agama dan moral serta bimbingan ibu bapa di rumah. Ibu bapa yang bekerja tidak dapat meluangkan masa secukupnya untuk bermesra dan membimbing anak-anak dengan didikan agama yang sewajarnya. Tanggungjawab itu diserahkan sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah.

5.2 Pengaruh media masa dan arus perdana globalisasi serta tamadun meterialistik masa kini amat banyak mencetus krisis nilai. Majalah-majalah hiburan yang tidak bermoral dan beretika berleluasa di pasaran. Filem-filem ganas dan unsur seks yang ditayang di television secara bebas memberi kesan ke atas pembentukan pelajar. Pelajar-pelajar menjadi keliru dan tidak tahu memilih maklumat yang terbaik untuk membina kehidupan mereka. Mereka sering tenggelam dalam arus keruntuhan akhlak dan moral lantaran tidak memiliki daya tahan spritual. Menurut Prof. Dr.Yusof al-Qardhawi ( 1999 ) mengatakan bahawa kesan yang paling menonjol akibat dari tamadun hari ini ialah terungkainya ikatan akhlak. Dengan ini lahirlah masyarakat yang tidak ada kepimpinan diri dan akhlak. Keadaan ini akhirnya akan mendedahkan manusia kepada pelbagai krisis dan gejala yang antaranya berlaku dan mempengaruhi remaja-remaja kita yang cenderung untuk melakukan pelbagai kegiatan jenayah di sekolah yang akhirnya kewujudan kumpulan-kumpulan genster dalam pelbagai salah laku jenayah di sekolah pada hari ini.

5.3 Pengaruh persekitaran seperti pusat-pusat hiburan, kafe siber, kedai-kedai video game dan berbagai-bagai pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan tanpa penguatkuasaan undang-undang telah menambahkan lagi kemelut dan keruntuhan akhlak dan moral sehingga akhirnya membawa remaja dan pelajar terlibat dengan aktiviti jenayah dan kumpulan samseng atau gengster.

5.4 Pelajar-pelajar kemungkinan mempunyai sifat semula jadi yang suka memberontak dan melanggar peraturan-peraturan sekolah dan lain-lain peraturan termasuk menjadikan diri mereka sebagai tumpuan ramai khususnya di kalangan rakan sebaya.

5.5 Pelajar-pelajar yang memperolehi pencapaian yang rendah dalam bidang akademik dan gagal menjadikan diri mereka sebagai sebahagian daripada ahli masyarakat sekolah masing-masing kemungkinan cenderung untuk melakukan jenayah.

5.6 Pelajar-pelajar yang mempunyai ahli keluarga dan jiran yang telah sedia menjadi ahli kumpulan gengster dan mempunyai pengaruh kuat ke atas pelajar itu termasuk pelajar-pelajar yang tinggal di kawasan-kawasan kediaman di mana terdapat kumpulan gengster dan samseng bergerak aktif.

Di dalam pelbagai andaian dan faktor yang dibincangkan ini penulis ingin menumpukan kepada satu faktor sahaja yang merupakan asas atau punca kepada pelbagai faktor yang lain. Pada pendapat penulis faktor pertama iaitu pendidikan di rumah oleh ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk generasi pelajar dan tingkah laku mereka sama ada di sekolah atau di mana sahaja. Pendidikan agama dan akhlak perlu diberi oleh ibu bapa kepada anak-anak terlebih dahulu sebagai persediaan awal untuk membina keperibadian dan syakhsiah individu berkenaan ke arah akhlak yang mulia.

6.0 Perbincangan

Wujudnya fenomena semasa yang menunjukkan bertambahnya perlanggaran disiplin dan gejala salah laku di kalangan pelajar telah menimbulkan pelbagai pertanyaan umum tentang kesesuaian dan keberkesanan dasar dan peraturan yang digunakan untuk pengukuhan disiplin diperingkat sekolah. Dalam konteks ini satu daripada perkara yang sering dikaitkan dengan perlanggaran disiplin dan gejala salah laku ialah kewujudan unsur gengsterisme dan aktiviti kumpulan samseng di sekolah. Hari ini pelajar terlibat dengan kegiatan jenayah dianggap sebagai fenomena biasa. Berita salah laku dan penglibatan dalam kegiatan jenayah bukan lagi bahan panas untuk diperkatakan. Apabila masyarakat telah jemu memperkatakannya isu itu akan hilang begitu sahaja seperti isu-isu lain yang dianggap kontroversi dan yang penig kepala ialah ibu bapa dan pihak sekolah. Pelbagai teori dan andaian telah dikaitkan dengan kewujudan kumpulan samseng ini antaranya pengaruh media massa, pengaruh perbandaran atau urbanisasi yang semakin cepat menular di kawasan luar bandar, pengaruh meterialisme yang semakin meningkat, fahaman kebebasan individu untuk perlu dihormati, pengaruh rakan sebaya, krisis nilai, ceteknya pengayatan agama dalam diri individu, kurangnya perhatian dan bimbingan ibu bapa terhadap anak-anak di rumah dan lain-lain lagi.

Perlanggaran displin dan perbuatan salah laku di kalangan pelajar bukan sahaja berlaku secara meluas di kawasan bandar dan pinggir bandar tetapi kini menular juga di sekolah-sekolah luar bandar termasuk di kawasan-kawasan felda, felcra serta kawasan-kawasan perkampungan. Ini menunjukkan trend perlanggaran disiplin di kalangan pelajar meningkat secara mendadak dan membimbangkan walaupun bilangan pelajar yang terlibat masih terlalu kecil. Dalam masa yang sama juga kes penglibatan pelajar-pelajar perempuan semakin bertambah.

Isu gengsterisme ini merupakan satu perkara yang amat mencabar kesabaran dan kecekalan pihak pengurusan sekolah, kebolehan guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran, kebolehan kaunseling dan pengawalan oleh guru-guru disiplin sekolah. Masalah ini merupakan suatu isu dari perspektif pendidikan yang perlu diselesaikan segera secara menyeluruh. Dalam konteks negara gejala ini merupakan suatu jenayah yang mencabar pihak polis untuk membendungnya.

Banyak faktor yang menjurus kepada isu gensterisme di sekolah. Namun disebalik faktor-faktor tersebut ada satu faktor utama yang menjadi kunci kepada faktor-faktor yang lain. Faktor utama tersebut ialah kurangnya bimbingan dan asuhan agama oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka di rumah. Dalam konteks ini ia bukan sahaja terbatas kepada pelajar-pelajar muslim sahaja bahkan juga pelajar-pelajar non-muslim. Di sebabkan kekurangan asuhan dan bimbingan dari rumah maka anak-anak kurang mempunyai daya tahan dalam menghadapi cabaran dan rintangan hidup. Mereka mudah terpengaruh dengan persekitaran, rakan sebaya, media massa, internet, gaya hidup yang mengejar keseronokan dan hiburan, meterialistik dan sebagainya. Keadaan ini akhirnya menjuruskan kepada pelbagai gejala jenayah dan salah laku. Di sekolah wujudnya kumpulan-kumpulan samseng atau genster yang sering melakukan jenayah dan mengganggu ketenteraman dan mencemar iklim persekolahan. Sehingga kini gengsterisme menjadi isu hangat yang perlu ditangani segera.

7.0 Cadangan dan Penyelesaian

7.1 Ibubapa perlu menyedari bahawa anak-anak adalah segala-galanya bagi mereka. Mereka pewaris kepada bangsa adan negara. Oleh yang demikian ibu bapa perlu memastikan bahawa anak-anak mendapat bimbingan agama dan moral yang secukupnya agar mereka mempunyai keimanan yang mantap dan mampu membentuk keperibadian dan akhlak serta mempunyai daya tahan dalam mengharungi hidup yang penuh dengan rintangan dan cabaran. Keimanan yang mantap akan mencegah diri seseorang dari perbuatan keji dan mungkar sekali gus menghindar mereka dari terlibat dengan aktiviti-aktiviti kumpulan samseng dan gengster di sekolah atau di mana sahaja. Firman Allah swt yang bermaksud bahawa sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar (al-Ankabut : 45) adalah merupakan menifestasi didikan dan bimbingan yang mantap dari rumah.

7.2 Faktor agama dan moral berkait rapat antara satu sama lain dalam membentuk kepribadian dan akhlak serta moral yang tinggi di kalangan remaja. Kewujudan suatu kod moral ialah sifat bagi semua agama yang utama di dunia. Dalam agama-agama seperti Islam, Kristian, Hindu, nilai-nilai agama adalah terjalin begitu kuat sehingga perbezaan di antara mereka menjadi tidak ketara dan tidak penting. Pendek kata agama dapat memainkan peranan dalam pembentukan akhlak yang baik dan mempengaruhi kelakuan akhlak seseorang individu. (W.P.Yong, 1989) Oleh yang demikian penekanan kepada pendidikan agama amat penting untuk membentuk individu yang seimbang sekali gus menjauhkan diri dari terlibat dengan aktiviti gengsterisme.

7.3 Hubungan yang rapat antara pihak sekolah dengan ibu bapa, guru dengan pelajar adalah penting. Guru perlu mendekati pelajar secara peribadi dan memahami masalah yang dihadapi oleh seseorang pelajar tersebut. Dengan cara ini pelajar merasakan mereka dihargai dan pihak sekolah sentiasa mengambil berat terhadap kepentingan mereka. Oleh yang demikian pelajar yang bermasalah tidak segan untuk berbincang dengan guru mereka berkenaan masalah yang dihadapi. Keadan ini mengelakkan pelajar dari melepaskan masalah mereka dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang booleh menjejaskan ketenteraman awam seperti salah laku jenayah dan gengsterisme.

7.4 Di sekolah pula penguatkuasaan disiplin perlulah tegas dan berterusan. Usaha yang berterusan perlu dilakukan termasuk mengukuh, memperjelas dan menentukan kebolehgunaan surat-surat peraturan dan pekeliling yang berkaitan sejajar dengan perubahan-perubahan persekitaran dan masa. Sistem pengurusan disiplin di sekolah juga perlu berkesan meliputi rekod individu pelajar, rekod pelanggaran disiplin serta hukuman dan ganjaran.

7.5 Pengawalan kumpulan gengster dan samseng perlu dilakukan secara bersepadu atau melalui kaedah permuafakatan dengan melibatkan semua kumpulan atau pihak iaitu sekolah, ibu bapa, masyarakat, kerajaan dan penguatkuasa undang-undang. Kerjasama perlu dibentuk melalui satu rangkaian yang jelas dan melibatkan pelbagai aktiviti seperti penyampaian dan penyaluran maklumat tentang sesuatu kegiatan gengster dan samseng yang melibatkan pelajar sekolah harian kepada pihak pengurusan sekolah dan pihak penguatkuasa undang-undang. Kerjasama dalam bentuk perancangan dan penyediaan pelan tindakan secara bersama berdasarkan kefahaman yang jelas untuk mencegah dan membasmi aktiviti geng dan samseng di kalangan pelajar. Aktiviti pengawalan dan tindakan bersama juga perlu bagi menghapus aktiviti-aktiviti gengster dan samseng di dalam sekolah khususnya tindakan yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang dan disiplin.

7.6 Melemahkan dan menghapuskan faktor-faktor penarik dan penolak yang mempenagruhi pelajar untuk terlibat dalam kumpulan-kumpulan gengster dengan menjadikan sekolah sebagai faktor yang kuat untuk menarik semua kumpulan pelajar agar sayangkan sekolah dengan menyediakan sekolah dan persekitannya sebagai tempat yang kondusif dan seronok untuk belajar.

7.7 Langkah seterusnya ialah mengawal jaringan aktiviti gengster dan samseng yang melibatkan pelajar dengan menyediakan pelan tindakan dan melaksanakannya secar bersama melalui tindakan berkesan. Antaranya pihak sekolah harus mentukan bahawa pelajar-pelajar tidak melepak sama ada dalam waktu persekolahan atau di luar waktu persekolahan kerana ini akan mendedah pelajar kepada pelbagai pengaruh yang tidak sihat. Selain itu pihak pengurusan sekolah perlu menyediakan satu sistem kawalan mencegah ahli-ahli kumpulan gengster dan samseng daripada menjadikan pelajar-pelajar sebagai mangsa dalam masa tiga waktu utama iaitu sebelum persekolahan, semasa rehat dan waktu selepas tamat sesi persekolahan harian.

8.0 Penutup

Kemunculan kumpulan gengsterisme di sekolah telah membimbnagkan semua pihak. Ia merupakan isu yang memerlukan penyelesaian segera. Aktiviti-aktiviti kumpulan ini telah mengeruhkan iklim sekolah dan seterusnya memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Penglibatan semua pihgak adalah penting dalam menangani isu ini supaya ia dapat dikawal dan dibasmi daripada berlarutan. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membimbing dan mengasuh anak-anak mereka di rumah sebelum mereka dihantar ke sekolah atau keluar dari rumah agar mereka mempunyai ketahanan iman dan mental dalam menghadapi cabaran dan rintangan arus perdana globalisasi. Ketahanan iman pada diri anak-anak ini akhirnya akan melahirkan pelajar yang bersih dari pelbagai gejala dan salah laku jenayah seterusnya mencapai matlamat falsafah Pendidikan Negara kita.

Rujukan :

Dr.Amir Mohd Salleh, 1999, Kajian Gengsterisme di Sekolah Menengah Harian, Unit Penyelidikan Dasar, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dr.Yusof al-Qurdhawi, 1999, Tamadun Islam Alternatif Masa Depan, Bangi : Maktabah al-Qardhawi.

Kamus Dewan, 1984, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pendidikan (7 November 1979), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Mohd Sulaiman Haji Yassin, 1992, Akhlak dan Tasauf, Bangi : Yayasan Salman.

Yong Wai Ping, 1989, Satu Tinjauan Mengenai Hubungan di antara Masalah Disiplin di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah dengan Tahap Perkembangan Moral, Bangi: UKM.

Iheoma, E.O, “The Role of Religion in Moral Education”, Journal of Moral Education, Vol 15, no 2, May 1986.

Majalah Massa, 5-11 Ogos 2000

Berita Harian, 13 Julai 2000

Klik Untuk Kembali

|
This entry was posted on 8/22/2009 06:35:00 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: